Isnin, 20 April 2020 | 6:52pm
KEBAKARAN hutan dianggarkan 50 hektar di kompartmen 21 Hutan Siimpan Kuala Langat Selatan. NSTP/Ihsan UPBN
KEBAKARAN hutan dianggarkan 50 hektar di kompartmen 21 Hutan Siimpan Kuala Langat Selatan. NSTP/Ihsan UPBN

80 hektar hutan simpan Kuala Langat terbakar

KUALA LANGAT: Kerajaan Negeri Selangor akan memohon bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melakukan pengeboman air menggunakan pesawat Bombardier CL-415 bagi mempercepatkan kerja pemadaman kebakaran di Kompartment 21 Hutan Simpan Kuala Langat Selatan di sini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian, berkata ini kerana kebakaran yang mula dikesan pada Jumaat lalu kini merebak sehingga seluas 80 hektar berikutan cuaca panas, kering dan berangin.

“Hutan yang terbakar ini tidak mempunyai jalan masuk dan sumber air. Bagaimanapun kita sudah menempatkan dua jentolak untuk membuka jalan supaya pasukan bomba dan agensi berkaitan dapat masuk ke kawasan kebakaran.

“Kerajaan negeri juga mengaktifkan sebuah telaga tiub kira-kira 1.5 kilometer daripada kawasan kebakaran untuk digunakan dalam kerja pemadaman api,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kebakaran hutan simpan berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis.

Loy Sian berkata, tanpa operasi pengeboman air oleh pesawat APMM, kerja pemadaman kebakaran mungkin mengambil masa tiga hingga empat minggu untuk diselesaikan berbanding kira-kira sepuluh hari dengan bantuan agensi terbabit.

Katanya, seramai 100 anggota terdiri daripada JBPM Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Unit Pengurusan Bencana Selangor ditempatkan di hutan simpan berkenaan bagi melaksanakan kerja pemadaman kebakaran.

Tambahnya, pihaknya berharap operasi pengeboman air oleh APMM dapat dilaksanakan seawal pagi esok bagi mengelak kebakaran hutan itu merebak ke kawasan yang lebih luas.

Mengulas mengenai punca kejadian itu, Loy Sian berkata ia disyaki akibat perbuatan tidak bertanggungjawab petani haram di kawasan hutan simpan terbabit yang melakukan pembakaran bagi membuka tanah pertanian baharu.

“Mereka mengusahakan tanaman kontan seperti ubi keledek, ubi kayu dan sayur-sayuran. Dianggarkan kira-kira 300 petani haram meneroka hutan simpan ini,” katanya.

Loy Sian berkata kerajaan negeri menghadapi kesukaran untuk mengekang kegiatan pertanian golongan berkenaan kerana mereka adalah antara pembekal makanan terbesar kepada penduduk Selangor.

“Kawasan ini dan di Johan Setia, Klang merupakan antara dua lokasi tanah gambut yang membekalkan sebahagian besar sayur-sayuran kepada penduduk negeri ini.

“ Disebabkan itu, kerajaan negeri perlu berhati-hati dalam melakukan kerja-kerja pemutihan ke atas petani ini kerana kita tidak mahu bekalan makanan terjejas,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X