Ahad, 19 April 2020 | 10:45pm
KEBAKARAN hutan dianggarkan 50 hektar di kompartmen 21 Hutan Siimpan Kuala Langat Selatan. NSTP/Ihsan UPBN
KEBAKARAN hutan dianggarkan 50 hektar di kompartmen 21 Hutan Siimpan Kuala Langat Selatan. NSTP/Ihsan UPBN

Bomba berdepan kesukaran padamkan kebakaran hutan

BANTING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berdepan kesukaran dalam usaha memadamkan kebakaran besar hutan dianggarkan 50 hektar di kompartmen 21 Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, di sini.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, keadaan itu disebabkan beberapa halangan termasuk tiada laluan masuk, laluan kenderaan dan sumber air.

“Bomba turut berdepan dengan keadaan cuaca yang panas, kering dan berangin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KEBAKARAN hutan dianggarkan 50 hektar di kompartmen 21 Hutan Siimpan Kuala Langat Selatan. NSTP/Ihsan UPBN
KEBAKARAN hutan dianggarkan 50 hektar di kompartmen 21 Hutan Siimpan Kuala Langat Selatan. NSTP/Ihsan UPBN

Norazam berkata, sebaik menerima laporan semalam, pihaknya menggerakkan anggotanya ke lokasi untuk meninjau keadaan di kawasan kebakaran itu.

“Satu pasukan peninjau digerakkan pagi tadi ke lokasi kerana tiada laluan masuk kenderaan dan sumber air.

“Bomba kemudiannya membuat tinjauan udara menggunakan helikopter milik JBPM dan menghantar pegawai serta anggota melalui jalan kaki berdasarkan bacaan peta.

“Tinjauan udara untuk mengenal pasti keluasan kebakaran, mencari sumber air dan laluan masuk, selain untuk mengenal pasti strategi memadam kebakaran yang sesuai,” katanya.

Beliau juga sudah mengarahkan 40 anggota dan enam pegawai kanan ke lokasi pada serta menggerakkan logistik dan peralatan pemadaman ke lokasi.

Kebakaran yang dilaporkan sejak semalam itu adalah kali kedua selepas kejadian pertama bulan lalu.

Pada Mac lalu, kira-kira 35 hektar daripada kawasan hutan simpan itu dilapor terbakar.

Berita Harian X