Ahad, 19 April 2020 | 4:56pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Sindiket pelaburan bitcoin didalangi warga China tumpas

ISKANDAR PUTERI: Polis menahan 14 lelaki warganegara China berusia 20 hingga 30 tahun dipercayai kumpulan sindiket pelaburan antarabangsa jual beli mata wang digital (bitcoin), di sini, semalam.

Sindiket itu berselindung di sebalik rumah banglo di kawasan perumahan berpagar di Horizon Hill, di sini sebagai markas operasi bagi mengelakkan daripada dikesan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata ahli kumpulan sindiket itu ditahan dalam serbuan Ops Nuri dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pada jam 2.14 petang, semalam.

“Hasil siasatan awal, mendapati mereka melakukan kegiatan penipuan pelaburan membabitkan jual beli bitcoin yang tidak wujud dengan menyasarkan warganegara China sebagai mangsa.

“Polis melakukan risikan hampir dua bulan sebelum melakukan serbuan di lokasi itu. Turut dirampas 33 unit telefon pintar, sembilan unit komputer riba, dua unit modem dan satu mesin pencetak.

“Kita percaya sindiket menggunakan modus operandi dengan mempromosikan pakej pelaburan terhadap mangsa melalui aplikasi WeChat dan QQ.

“Dengan menggunakan teknik penyamaran ahli sindiket sebagai mentor pelaburan dan ahli pelaburan bagi meyakinkan mangsa”, katanya pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Zulkhairi berkata, mangsa terpedaya dengan testimoni palsu menyebabkan mereka melabur dan mengalami kerugian.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan awal juga mendapati kesemua suspek yang ditahan ini bekerja sebagai pegawai pemasaran yang berpangkalan di negara China.

“Pihak Polis percaya masih ada saki-baki ahli sindiket ini dan kita juga sedang mengesan dalang kegiatan ini”, katanya.

Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Berita Harian X