Ahad, 19 April 2020 | 4:35pm
Anggota polis membantu pegawai kanan polis, ASP Aldrin anak Gonda yang ketika itu parah dalam kemalangan sebelum disahkan meninggal dunia. - Foto ihsan Pembaca
Anggota polis membantu pegawai kanan polis, ASP Aldrin anak Gonda yang ketika itu parah dalam kemalangan sebelum disahkan meninggal dunia. - Foto ihsan Pembaca

Pegawai kanan polis maut selepas kereta peronda terbalik

ALOR SETAR: Seorang pegawai kanan polis maut selepas kereta peronda dinaiki bersama dua anggotanya terbabas lalu terbalik di lampu isyarat Arkib Negara, ketika mengelak sebuah motosikal yang mengubah dari lorong kiri ke lorong kanan, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi, mangsa, Asisten Superintendan Aldrin anak Gonda, 38, yang juga Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Bagaimanapun, dua lagi anggota, Konstabel Abdul Hafizal Duim, 26, yang memandu kereta dan rakannya, Konstabel Muhammad Fikri Zulkipli, 26, yang duduk di tempat duduk belakang masing-masing luka di kepala dan kedua-dua belah kaki.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata pegawai terbabit dalam perjalanan ke Pantai Johor selepas menerima maklumat berkaitan tangkapan dadah dalam Op COVID-19.

Katanya, ketika dalam perjalanan berlaku kemalangan membabitkan kereta yang dinaiki mangsa dan dua anggota di lokasi kejadian dengan sebuah motosikal nombor pendaftaran tidak dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin menyifatkan kehilangan pegawainya satu kehilangan besar. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin menyifatkan kehilangan pegawainya satu kehilangan besar. - Foto Zuliaty Zulkiffli

“Ketika kejadian kenderaan polis dari arah Kanchut menghala ke arah Pantai Johor untuk bertugas bagi Ops COVID-19, cuba mengelak motosikal terbabit yang mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan.

“Berikutan itu, kereta peronda polis yang dinaiki ketiga-tiga mereka hilang kawalan lalu terbabas di lokasi kejadian.

“Disebabkan kecederaan parah, pegawai kanan saya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Rozi berkata, pihaknya sedang mengesan penunggang motosikal yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

“Kita akan cuba menguruskan penghantaran mayat mendiang ke kampung halamannya di Sarawak walaupun masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini namun kita akan cuba.

“Mendiang baru tiga tahun berkhidmat di IPD Kota Setar dan pemergiannya satu kehilangan besar buat kami,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X