Jumaat, 17 April 2020 | 1:54pm
Tiga lelaki termasuk pengurus kelab golf dan guru tuisyen masing-masing dipenjara tiga hari dan denda RM1,000 kerana ingkar PKP dengan bermain golf. Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Tiga lelaki termasuk pengurus kelab golf dan guru tuisyen masing-masing dipenjara tiga hari dan denda RM1,000 kerana ingkar PKP dengan bermain golf. Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

PKP: Tiga dipenjara, denda RM1,000 kerana main golf

BATU GAJAH: Tiga lelaki yang ditahan bermain golf selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, dipenjara selama tiga hari dan didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf, menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang terdiri daripada Low Teck San, 68; Tan Chee Kean, 59 dan Eugene Wong Yat Hoe, 37, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap jurubahasa.

Mereka didakwa berhimpun dalam kawasan jangkitan bagi maksud sukan, kesalahan mengikut Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang sedang berkuat kuasa mulai 15 April hingga 28 April 2020.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di lubang 15, padang golf Kelab Golf Clearwater Sanctuary Resort (CWS) di sini jam 11.30 pagi semalam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 6 dan yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 (1) peraturan sama, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairoz Abd Mutalib, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya kepada mereka kerana perbuatan itu adalah kesalahan serius dan sebagai pengajaran kepada semua rakyat Malaysia.

Ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam Parveen Sharma Krishnan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman denda dengan alasan masing-masing menanggung keluarga dan tiada rekod kesalahan lampau.

Parveen memohon mahkamah mengurangkan hukuman berikutan Low yang juga pengurus kelab golf menderita masalah jantung, diabetes, tekanan darah tinggi dan glaukoma.

Beliau memberitahu yang Tan pula menganggur menderita tekanan darah tinggi, manakala Eugene guru tuisyen perlu mengendalikan subjek Matematik e-pembelajaran terhadap 60 pelajarnya, selain mempunyai dua anak berusia 11 dan 12 tahun.

Nazratul Natrah kemudiannya mengarahkan hukuman penjara bagi ketiga-tiga mereka bermula dari tarikh tangkapan mereka semalam.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Nazratul Natrah mengecam tindakan kesemua tertuduh yang seolah-olah tidak mengambil serius dan memperlekehkan undang-undang negara.

“Pada pandangan pengadilan, anda sama sekali tidak peduli dengan barisan hadapan yang kini berjuang melawan Covid-19.

“Anda adalah orang berpendidikan yang memahami undang-undang dan kami memandang serius perkara ini terutama semasa fasa ketiga PKP ini,” katanya.

Nazratul Natrah kemudiannya mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda.

Berita Harian X