Selasa, 14 April 2020 | 9:03pm

Peminum ketum terjun paya, elak ditangkap

KEPALA BATAS: Empat lelaki yang menikmati minum air ketum di sebuah bangsal dekat Penaga, di sini bertempiaran lari selepas melihat kenderaan polis masuk ke kampung mereka di sini, petang tadi.

Ada antara mereka sanggup terjun ke dalam paya hingga badan bersalut lumpur bagi mengelak ditahan polis tetapi ia hanya sia-sia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata lelaki berusia antara 40 hingga 60 tahun itu ditahan ketika anggotanya membuat pemantauan Op COVID, jam 2 petang.

“Mereka dilihat berbual di dalam bangsal namun bertempiaran lari sebaik melihat kenderaan polis.

“Namun, usaha mereka sia-sia apabila semua berjaya ditahan termasuk salah seorang yang berada dalam paya,” katanya.

Mereka mendakwa baru sahaja datang ke bangsal untuk bertemu rakan selepas selesai turun ke laut pagi tadi.

Pemeriksaan lanjut menemui dua botol air ketum dan beberapa cawan yang digunakan.

Noorzainy berkata, mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut sebelum kompaun dikeluarkan.

“Semua tahu berada di luar rumah dengan melepak adalah kesalahan yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi tetap juga berdegil dan memaksa tindakan tegas diambil,” katanya.

Berita Harian X