Selasa, 7 April 2020 | 12:24pm
Sebahagian 11 lelaki ditahan polis ketika berhimpun dalam semak dan melanggar PKP di Kampung Bakau, Langkawi. - Ihsan PDRM
Sebahagian 11 lelaki ditahan polis ketika berhimpun dalam semak dan melanggar PKP di Kampung Bakau, Langkawi. - Ihsan PDRM

11 lelaki ditahan dalam semak

LANGKAWI: Seramai 11 lelaki ditahan selepas gagal memberi alasan munasabah ketika berhimpun di dalam kawasan semak di Kampung Bakau, di sini, petang semalam.

Dalam operasi pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada jam 6 petang, semua lelaki berusia antara 16 dan 48 tahun dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata terdahulu pihaknya dimaklumkan orang awam yang melihat gelagat kumpulan lelaki berkenaan.

“Berdasarkan aduan awam, sepasukan anggota polis yang membuat rondaan pemantauan PKP menyerbu kawasan semak berdekatan kampung itu.

“Ketika pemeriksaan, kesemua suspek gagal memberikan alasan munasabah untuk berada di luar rumah ketika tempoh PKP,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mendapati 10 suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Semua individu terbabit ditahan reman dan disiasat bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Mereka turut disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana turut menghalang tugas pegawai polis dan Seksyen 270 KK kerana berkumpul menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X