Ahad, 5 April 2020 | 10:45pm

Dua remaja ditahan lepak sambil minum arak ketika PKP

LABUAN: Dua remaja lelaki yang melepak sambil minum arak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat padah apabila ditahan polis di Taman Mutiara, Bebuloh, di sini, pagi tadi.

Kedua-dua suspek berusia 20-an ditahan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan ketika menjalankan pemantauan di kawasan itu, jam 2.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata kedua-dua lelaki terbabit dikatakan sedang melepak sambil meminum arak.

“Suspek gagal memberikan alasan yang munasabah ketika di soal dan mereka hanya duduk sambil meminum arak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kedua-dua suspek ditahan kerana melanggar PKP fasa 2 mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) (No.2) 2020.

Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang menyebabkan merebak penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

Berita Harian X