X
Ahad, 5 April 2020 | 7:43pm

Tujuh ditahan melepak, minum arak ketika PKP

PETALING JAYA: Akibat tidak mengendahkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul dan meminum arak, tujuh lelaki ditahan di dua lokasi berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata penahanan pertama membabitkan dua lelaki berusia 29 dan 35 tahun yang didapati melepak dan minum minuman keras di bawah Blok A Pelangi Damansara.

“Dalam tangkapan kira-kira jam 9.35 malam itu, anggota polis turut merampas 21 tin arak pelbagai jenama milik mereka.

“Menerusi tangkapan kedua, kita menahan lima lelaki berusia antara 19 hingga 33 tahun yang didapati berkumpul sambil minum arak di tangga tingkat 16 Blok 9, Desa Mentari 2, kira-kira jam 11.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya pihaknya turut menahan tiga individu termasuk seorang wanita kerana ingkar arahan PKP di Bulatan Sultan, Pekan Baru di sini, awal pagi tadi.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, mereka turut bertindak kurang ajar dengan menengking dan cuba melawan anggota polis yang menjalankan tugas.

“Ketiga-tiga mereka ditangkap kira-kira jam 1.10 pagi tadi dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Secara keseluruhan katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sudah menahan 20 individu dalam tempoh 24 jam hingga awal pagi tadi kerana didapati ingkar arahan PKP di sekitar daerah ini termasuk lima warga asing.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Berita Harian X