Sabtu, 4 April 2020 | 10:25pm

6 lelaki ditahan ingkar PKP

KUALA LUMPUR: Enam lelaki ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara jam 2.50 petang semalam hingga 4 pagi tadi.

Semua mereka ditahan hasil rondaan dan sekatan jalan di sekitar Petaling Jaya, membabitkan lima warga tempatan dan seorang warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 46 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata antara kesalahan dikesan ialah mencabar tugas polis, gagal memberi alasan mengenai pergerakan dan berkumpul di tepi jalan.

“Semua tahanan terbabit disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Justeru, pihak polis meminta orang ramai mematuhi PKP dan tidak memandang remeh perkara ini. Duduk di rumah dan keluar apabila keperluan mendesak sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita Harian X