Jumaat, 3 April 2020 | 9:00pm
Keadaan MPV yang remuk selepas merempuh motosikal dan terjunam ke longkang di Jalan Noosob-Hungab, Penampang. Foto Juwan Riduan
Keadaan MPV yang remuk selepas merempuh motosikal dan terjunam ke longkang di Jalan Noosob-Hungab, Penampang. Foto Juwan Riduan

Suami isteri maut dirempuh MPV

PENAMPANG: Suami isteri maut apabila motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderan pelbagai guna (MPV), sebelum diseret dan terhumban ke dalam longkang di Jalan Noosob-Hungab, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, penunggang motosikal berusia 35 tahun dan isterinya, 38, kedua-duanya warga asing disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata kejadian berlaku apabila MPV dipandu seorang lelaki terbabas di kawasan selekoh dan memasuki lorong bertentangan, sebelum melanggar motosikal dinaiki suami isteri itu.

“Motosikal mangsa terseret dan terhumban ke dalam longkang besar bersama-sama MPV berkenaan.

“Pasangan suami isteri warga asing disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan daripada Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.

“Pemandu MPV berusia 33 tahun pula hanya cedera ringan, manakala penumpang lelaki berusia 17 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke HQE untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X