Khamis, 2 April 2020 | 8:40pm
Tertuduh yang melanggar PKP didenda RM1,000 atau penjara tujuh hari kerana berada di kawasan jangkitan tanpa alasan munasabah dengan berkonvoi di Jalan Titi Besar pada 9.30 pagi 29 Mac lalu. - NSTP/Abnor Hamizam
Tertuduh yang melanggar PKP didenda RM1,000 atau penjara tujuh hari kerana berada di kawasan jangkitan tanpa alasan munasabah dengan berkonvoi di Jalan Titi Besar pada 9.30 pagi 29 Mac lalu. - NSTP/Abnor Hamizam

155 didakwa ingkar PKP di beberapa negeri

KUALA LUMPUR: Selain penjara dan denda, mahkamah semalam turut menjatuhkan hukuman Perintah Kehadiran Wajib (PKW) ke atas beberapa pesalah yang berdepan pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKW, yang juga program khidmat masyarakat, adalah alternatif kepada hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap pesalah.

Hari ini, sejumlah 115 individu didakwa di mahkamah beberapa negeri di seluruh Malaysia.

Kesalahan yang paling banyak dilakukan ialah gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana kawasan jangkitan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Ada juga didakwa menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka ketika tempoh PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di PULAU PINANG, 24 lelaki berumur lingkungan 25 hingga 48 tahun dikenakan PKW selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Georgetown kerana bermain bola sepak ketika PKP dikuatkuasakan.

Mereka perlu melapor diri kepada Jabatan Penjara mengikut Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 dan pihak penjara akan menentukan jenis khidmat masyarakat yang pesalah perlu lakukan selama tiga jam sehari sepanjang tempoh tiga bulan itu.

Kesemua tertuduh didakwa berhimpun di padang Kolej Seminari Tinggi Katolik di sini, yang juga tempat dalam kawasan tempatan jangkitan, untuk bermain bola sepak, yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, pada 5.30 petang 31 Mac lalu.

Di KUALA LUMPUR, 22 individu dihadapkan ke beberapa Mahkamah Majistret sekitar ibu negara.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, seorang rakyat Pakistan, Mahmood Husaain, 40, didenda RM2,500 atau penjara tiga bulan selepas mengaku dengan sengaja meninggikan suara dan tidak memberi kerjasama kepada anggota polis yang sedang menjalankan sekatan jalan raya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Yayasan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Malaysia, Jalan Batu 6, Kepong pada 3.30 petang 1 April.

Sementara itu, tujuh individu termasuk seorang wanita rakyat Kyrgyzstan berusia lingkungan 20 hingga 28 tahun masing-masing didenda antara RM500 hingga RM1,000 atau penjara dua bulan kerana melanggar PKP dengan melepak di taman permainan serta koridor tanpa alasan munasabah dan berjoging di sekitar ibu negara antara 27 Mac dan 1 April lalu.

Di Mahkamah Majistret Selayang, 10 lelaki termasuk dua rakyat Myanmar masing-masing didenda antara RM900 hingga RM1,000 atau penjara sebulan selepas mengaku melanggar PKP dengan berhimpun bagi tujuan sosial antara 10 pagi dan 8.20 malam pada 30 Mac.

Di Mahkamah Majistret Ampang, empat lelaki rakyat Indonesia yang merupakan pekerja kontrak didenda RM600 atau penjara sebulan kerana melanggar PKP dengan berkumpul di sebuah pondok tanpa tujuan di Taman Mulia Jaya pada 26 Mac.

Rasban Sali dan Sugeng Teriman, masing-masing berusia 54 tahun, Abdul Halim Saiful Arifin, 40, serta Bidawi Ali, 45, didakwa melakukan kesalahan itu pada 1.45 petang.

Di NEGERI SEMBILAN, 10 lelaki termasuk empat remaja bawah umur berusia lingkungan 13 dan 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan melanggar PKP dengan berkumpul dan bermain bola sepak.

Di Mahkamah Majistret Jelebu, empat lelaki iaitu Ng Kim Seang, 34, Woo Soon You, 30, Low Yen Lai, 26 dan Teoh Chun Ann, 31, didenda RM1,000 atau penjara tujuh hari kerana berada di kawasan jangkitan tanpa alasan munasabah dengan berkonvoi di Jalan Titi Besar pada 9.30 pagi 29 Mac lalu.

Di PERAK, pendakwaan terhadap 26 individu termasuk 12 rakyat asing berusia lingkungan 17 hingga 47 tahun, terpaksa dijalankan di Mahkamah Tinggi Ipoh susulan kerja-kerja nyah cemar bagi mengekang penularan wabak COVID-19 sedang dilakukan di Mahkamah Majistret.

Kesemua tertuduh, termasuk tiga rakyat Indonesia, Myanmar (5) dan Bangladesh (4), yang ditahan sejak 29 Mac lalu di beberapa lokasi sekitar Ipoh, telah didenda RM1,000 selepas masing-masing mengaku bersalah melanggar PKP.

Di Mahkamah Majistret Kampar, 12 individu yang mengaku melanggar PKP masing-masing didenda antara RM1,000 hingga RM5,000 serta penjara antara dua hingga tujuh bulan, dan dua daripada mereka turut berdepan pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dengan melakukan provokasi selain enggan menyerahkan dokumen pengenalan diri ketika diminta oleh pihak polis.

Di MELAKA, 17 lelaki termasuk 12 rakyat asing berusia lingkungan 18 hingga 57 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka Tengah atas kesalahan sama telah dijatuhi hukuman penjara antara empat hari hingga seminggu dan denda RM300 hingga RM1,000 atau penjara dua minggu hingga dua bulan.

Mahkamah turut memerintahkan rakyat asing terbabit yang terdiri daripada warga Pakistan, Nepal, Bangladesh dan Myanmar dirujuk kepada pihak Imigresen selepas mereka selesai menjalani hukuman.

Di KEDAH, enam lelaki berusia lingkungan 23 hingga 42 tahun didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku melanggar PKP di sekitar Gurun dan Yan antara 28 hingga 30 Mac lalu.

Seorang daripada mereka, iaitu tertuduh yang berusia 23 tahun, turut didakwa memiliki dadah di bawah Seksyen 12(2)/(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 18 Jun. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X