Rabu, 1 April 2020 | 3:37pm
PENGARAH KPDNHEP negeri, Rae Morn Verak, (tengah) menunjukkan topeng muka tiga lapis yang dirampas di Taman Kempas pada 30 Mac lalu. - Foto ihsan KPDNHEP
PENGARAH KPDNHEP negeri, Rae Morn Verak, (tengah) menunjukkan topeng muka tiga lapis yang dirampas di Taman Kempas pada 30 Mac lalu. - Foto ihsan KPDNHEP

Topeng muka dijual melebihi harga maksimum dirampas

SUNGAI PETANI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kedah merampas 3,450 unit topeng muka yang dianggarkan bernilai RM6,900 di Taman Kempas, di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP negeri, Rae Morn Verak, berkata topeng muka tiga lapis itu dipercayai dijual pada harga RM2.50 seunit melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan iaitu RM2.00 seunit harga semasa ketika tindakan kes diambil.

“Satu serbuan dilakukan oleh sepasukan penguatkuasa dari KPDNHEP cawangan Sungai Petani, hasil maklumat orang awam berkaitan penjualan topeng muka yang melebihi harga maksimum kawalan.

“Topeng muka terbabit dipercayai dijual menerusi laman sosial Facebook dan pesanan dilakukan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu, seorang lelaki berusia 52 tahun dipercayai penjual topeng muka berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, sekiranya suspek didapati melakukan kesalahan, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, di denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya sentiasa memantau harga topeng muka di pasaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan.

Beliau mengingatkan golongan peniaga terutamanya bagi penjual yang menggunakan medium transaksi dalam talian supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menaikkan harga jualan topeng muka sewenang-wenangnya.

“Peniaga harus jujur dan telus dengan menyatakan maklumat lengkap berkenaan barangan seperti perihal barang, harga penuh barang dan sebagainya.

“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang ingkar dengan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Berita Harian X