Selasa, 31 March 2020 | 3:10pm
EMPAT penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini, atas kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Arau pada 27 dan 28 Mac lalu. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman
EMPAT penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini, atas kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Arau pada 27 dan 28 Mac lalu. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

COVID-19: Empat lelaki mengaku tak bersalah ingkar PKP

KANGAR: Empat penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Arau pada 27 dan 28 Mac lalu.

Tertuduh, Ahmad Rizuan Kassim, 32, Fauze Ahmad, 32, Khairul Ridzuan Fazial, 21, dan Muhammad Afiq Jasni, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Rizuan dan Fauze didakwa bergerak dari Kampung Belakang Kompleks Bernas bergerak ke Kampung Teluk, Jalan Tambun Tulang, Arau, pada jam 11.15 malam, 27 Mac lalu.

Khairul Ridzuan pula dari Kampung Che Ok, Simpang Empat dan Muhammad Afiq dari Taman Bunga Padi bergerak ke Jalan Long Boh, Arau pada jam 2 pagi, 28 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-langkah di dalam kawalan tempatan jangkitan) 2020 yang boleh dikenakan denda RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau keduanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim, manakala tertuduh pertama dan kedua diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan.

Tertuduh ketiga dan keempat diwakili peguam, Syed Muhammad Annuar Syed Lokman Hakim.

Norshuhada kemudian meminta mahkamah menetapkan semua tertuduh dikenakan jaminan yang tinggi berikutan kesalahan terbabit adalah larangan tegas ke atas semua rakyat.

Bagaimanapun, Zuhair memaklumkan kesemua tertuduh tidak bekerja disamping ada tertuduh yang sudah berkahwin.

Kamaliza kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dengan wang jaminan RM1,000 dan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Mei depan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X