Ahad, 29 March 2020 | 10:47pm

COVID-19: 16 ditahan disyaki melanggar PKP

KUALA LUMPUR: Seramai 16 lelaki, termasuk 12 warga asing, ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), antara jam 10 pagi semalam hingga 4.30 pagi tadi.

Kesemua mereka ditahan hasil rondaan dan sekatan jalan di sekitar Petaling Jaya, membabitkan empat warga tempatan, Bangladesh (dua), China (dua), India (tiga), Myanmar (seorang) serta warga Nigeria (empat) berusia antara 25 hingga 46 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata antara kesalahan dikesan ialah bermain bola keranjang di taman permainan, gagal memberi alasan mengenai pergerakan dan berkeliaran di stesen minyak.

“Semua tahanan terbabit disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Justeru, pihak polis meminta orang ramai mematuhi PKP dan tidak mengambil remeh perkara ini. Duduk di rumah dan keluar apabila keperluan mendesak sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X