Ahad, 29 March 2020 | 2:44pm
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang mengesan Bot kelas C (TRF 1399) bersama enam nelayan dipercayai rosak dan dihanyutkan arus hingga ke perairan Pahang. NSTP/Ihsan APMM
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang mengesan Bot kelas C (TRF 1399) bersama enam nelayan dipercayai rosak dan dihanyutkan arus hingga ke perairan Pahang. NSTP/Ihsan APMM

Enam nelayan hilang sejak 20 Mac ditemui selamat di perairan Pahang

KUALA TERENGGANU: Enam nelayan yang dilaporkan hilang di laut selepas keluar menangkap ikan sejak 20 Mac lalu, ditemui selamat di perairan Pahang, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri menerima maklumat daipada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC) Pahang mengenai bot nelayan itu di kedudukan 44 batu nautika dari Perairan Pahang.

“Susulan maklumat itu Bot Maritm Penggalang 19 digerakkan ke lokasi sebelum menemui bot bersama enam nelayan dalam keadaan selamat pada jam 3.35 petang.

“Tekong serta awak-awak dalam keadaan selamat dan difahamkan bot mereka dihanyutkan sehingga ke perairan Pahang selepas mengalami kerosakan enjin.

“Mohd Yusof Awang, 45; Abdul Gani Sulong, 60; Awang Salleh, 40 dan Anuar Shafie, 30;, selain dua awak-awak warga Thailand itu ialah nelayan dari Seberang Takir,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, bot nelayan kelas C itu ditunda oleh bot nelayan lain ke jeti Kuala Kemaman.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada komuniti nelayan dan aset daripada agensi lain yang turut serta dalam operasi SAR berkenaan.

“Dengan dan penemuan dan pengesahan itu , SAR ditamatkan pada 7.30 malam tadi,” katanya.

Menurutnya, APMM menyeru orang ramai yang menjalankan aktiviti di laut supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan sebarang aduan atau kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999.

Media semalam, melaporkan APMM mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan enam nelayan dari daerah ini yang tidak pulang selepas keluar ke laut menaiki bot kelas C sejak 20 Mac 2020.

SAR yang dikoordinasikan di perairan Terengganu dan Pahang itu membabitkan aset laut sebanyak satu kapal dan dua bot APMM selain kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) dan tiga bot nelayan tempatan.

Berita Harian X