X
Ahad, 29 March 2020 | 1:14pm
Polis menahan 30 individu termasuk dua daripadanya bawah usia selepas dipercayai mengadakan 'private party' dalam serbuan di tiga kediaman di pangsapuri R&F Princess Cove, Jalan Tanjung Puteri, malam tadi. - Foto ihsan Polis Johor
Polis menahan 30 individu termasuk dua daripadanya bawah usia selepas dipercayai mengadakan 'private party' dalam serbuan di tiga kediaman di pangsapuri R&F Princess Cove, Jalan Tanjung Puteri, malam tadi. - Foto ihsan Polis Johor

COVID-19: 30 ditahan buat 'private party'

JOHOR BAHRU: Polis menahan 30 individu termasuk dua remaja bawah umur selepas dipercayai mengadakan ‘private party’ dalam serbuan di tiga kediaman di pangsapuri R&F Princess Cove, Jalan Tanjung Puteri, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata menerusi Ops Private Party yang dijalankan kira-kira jam 8.30 hingga 11.30 malam itu, pihaknya menahan 30 individu berusia 15 hingga 26 tahun.

Katanya, serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan di tiga unit kediaman itu turut menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan remaja perempuan berusia 15 tahun.

“Seramai 20 lelaki dan 10 wanita ditahan dan menerusi saringan ujian air kencing yang dijalankan, 10 individu didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala tujuh individu positif dadah jenis ketamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis menahan tiga remaja perempuan termasuk adik-beradik berusia 15 hingga 20 tahun ketika menjalankan sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Sultan Iskandar, kira-kira 7.30 malam tadi.

Katanya, mereka didapati tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain seorang daripada mereka positif dalam saringan ujian air kencing yang dilakukan selain memiliki dadah dipercayai jenis ketamine dengan anggaran berat 0.58 gram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Berita Harian X