Jumaat, 27 March 2020 | 5:17pm

11 laluan tikus PKPD di Simpang Renggam dikawal sepenuhnya

JOHOR BAHRU: Sebanyak 11 laluan tikus di dua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Kluang, dikawal dan kini ditutup sepenuhnya dari akses keluar atau masuk.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata langkah itu bagi memastikan dua kawasan PKPD itu tidak dibolosi oleh penduduk terjejas mahu pun orang luar.

Sehubungan itu, katanya, seramai 181 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerahkan membuat kawalan di dua kawasan itu bagi memastikan tiada akses keluar masuk sepenuhnya sehingga perintah berkenaan berakhir.

“Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerahkan mengawal 11 laluan tikus yang menghubungkan dua kawasan PKPD itu dengan kawasan lain bagi memastikan ia tidak dibolosi.

“Dua kawasan PKPD itu dikelilingi ladang sawit dan nanas dengan 11 laluan tikus itu membabitkan jalan ladang atau kebun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, malam tadi, hanya 81 anggota dan pegawai membuat kawalan di dua kawasan PKPD berkenaan, namun hari ini seramai 100 lagi dikerahkan membuat kawalan dengan tiga penggiliran tugas selama 24 jam.

Katanya, sekatan jalan raya di laluan utama kawasan PKPD berkenaan juga ditambah menjadi tujuh lapisan hari ini berbanding hanya lima malam tadi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam tadi dilaporkan mengumumkan, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD mulai tengah malam selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19.

Dua kawasan itu membabitkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang.

Perintah PKPD membabitkan 3,570 penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga di dua kampung berkenaan.

Mengulas lanjut, Ayob Khan, berkata semua pegawai dan anggota yang ditugaskan di dua kawasan PKPD itu akan menjalani proses menyahkuman yang dilakukan ATM setiap kali giliran penugasan mereka berakhir sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, siasatan awal peningkatan mendadak kes positif wabak COVID-19 di kawasan itu mendapati ia ada kaitan dengan kluster tabligh Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Ya mungkin ada faktor kenduri di dua kawasan berkenaan yang menyebabkan kes positif COVID-19 tinggi di situ,” katanya.

KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini. - Foto Omar Ahmad
KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini. - Foto Omar Ahmad
Berita Harian X