Khamis, 26 March 2020 | 3:36pm
Empat remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - NSTP/Essa Abu Yamin
Empat remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - NSTP/Essa Abu Yamin

Ingkar PKP, tiga remaja antara empat didakwa

BATU PAHAT: Seorang pendawai bersama tiga remaja lelaki bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19, dua hari lalu.

Soo Yong Hwa, 19 dan tiga remaja berusia 17 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul ‘Izzati Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bergerak dari Jalan Balau Laut, Taman Kota, Yong Peng, ke Jalan Parit Bilal, di sini, yang berada dalam kawasan jangkitan dan bukan bertujuan melakukan mana-mana perkara diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Mereka melakukan kesalahan itu pada jam 3.15 pagi, 24 Mac lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Keempat-empat tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua menghalang penjawat awam iaitu Sarjan Mohd Azhar Salleh menjalankan tugas sewaktu PKP sebagai anggota sekatan jalan raya di Jalan Kluang-Ayer Hitam, di sini, kira-kira 3.30 pagi pada hari sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Yong Hwa didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda dan denda RM5,000 atau 10 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda, bagi pertuduhan kedua.

Semua tertuduh juvana dibenar diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 20 Mei ini bagi sebutan semula kes terhadap tiga tertuduh bawah umur sementara menunggu laporan akhlak mereka daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dewi Jasmine Amalina Ahmad, manakala semua tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X