Rabu, 25 March 2020 | 3:38pm
Mohd Naim mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Mohd Naim mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Lelaki kenduri kepala kambing mengaku salah

ALOR SETAR: Seorang tukang rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial WhatsApp, Khamis lalu.

Mohd Naim Md Isa, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abas.

Mahkamah menangguhkan hukuman ke atas tertuduh pada 11 Mei ini kerana masih menunggu laporan lengkap forensik dan fakta kes.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Naim didakwa memuat naik video menerusi aplikasi WhatsApp dan mengeluarkan kata jelik dengan niat mempertikai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa susulan COVID-19.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan kampung di Langgar pada jam 2 petang, 19 Mac lalu.

Tertuduh berhadapan tuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588).

Juraidah membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Mei ini.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Zubaidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X