Rabu, 18 March 2020 | 2:48pm

Polis Marin rampas 285kg daun ketum

TUMPAT: Menyangkakan sudah tiada pergerakan orang ramai dan pihak berkuasa ‘berehat’ berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan tengah malam tadi, penyeludup mula menjalankan kegiatan mereka menerusi Sungai Golok.

Bagaimanapun, sangkaan itu meleset sama sekali apabila sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) awal pagi tadi berjaya merampas 285 kilogram (kg) daun ketum yang ditinggalkan dua lelaki dalam sebuah bot galah di sebuah pangkalan haram di pinggir Sungai Mentua, Pengkalan Kubor, di sini, jam 1 pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad, dua lelaki itu melarikan diri dengan menaiki kereta dan meninggalkan barangan yang dipunggah dalam keadaan tergesa-gesa sebaik melihat anggota PPM yang sedang membuat rondaan.

“Ketika menjalankan rondaan menghampiri pangkalan haram Buaya, anggota PPM ternampak kelibat dua lelaki sedang memunggah barang dari sebuah kereta ke dalam bot galah.

“Tindakan mereka agak mencurigakan dan sebaik ternampak empat anggota kami yang menaiki bot ronda, dua lelaki terbabit melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa.

“Hasil pemeriksaan dalam bot galah terbabit menjumpai 19 bungkusan plastik dipercayai daun ketum seberat 15kg setiap satu.

“Semua 285kg daun ketum itu dianggarkan bernilai RM25,650 manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk bot galah adalah RM30,650,” katanya kepada pemberita di markas operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Mohd Rudzuan berkata, semua daun ketum itu adalah dari utara tanah air untuk pasaran Thailand berikutan permintaan tinggi dari negara jiran dan harga juga lebih tinggi dijual.

Katanya,kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Aktiviti penyeludupan dijangka akan berterusan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan kerana penyeludup memang tidak pernah serik.

“Kami akan meneruskan operasi mengesan dan mengekang sebarang aktiviti penyeludupan serta lintas sempadan selaras dengan arahan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan pemantauan di kawasan sempadan susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa hari ini sehingga 31 Mac nanti.

“Kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti yang mencurigakan di sempadan dapat menyalurkan maklumat itu kepada PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di talian 09-7211622/09-7215069,” katanya.

Mohd Rudzuan (tengah) bersama anggota PPM menunjukkan sebahagian daun ketum pada sidang media di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Rudzuan (tengah) bersama anggota PPM menunjukkan sebahagian daun ketum pada sidang media di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X