Selasa, 17 March 2020 | 4:07pm

Ugut pegawai JPJ, pemandu lori dipenjara sebulan

JEMPOL: Tindakan pemandu lori menakutkan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas gagal ujian lesen memandu barangan (GDL) membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret Bahau.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulkarnain Mansor, 38, dari Bandar Seri Jempol selepas tertuduh mengaku salah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 13 Mac lalu jam 10.30 pagi, menakutkan secara jenayah terhadap pegawai berkenaan di hadapan pejabat JPJ, Bandar Seri Jempol

dengan menunjukkan penukul pelbagai guna sehingga mendatangkan ketakutan.

Tertuduh melakukan ugutan selepas kecewa akibat gagal ujian yang ketika itu pegawai JPJ berkenaan menjadi pegawai pemeriksa ujian.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X