X
Ahad, 15 March 2020 | 11:24am

Empat tokan leka bungkus dadah ditahan

LANGKAWI: Polis menahan empat lelaki yang leka membungkus dadah di sebuah stor belakang rumah di Kampung Bohor Masjid di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata lelaki berusia antara 24 dan 28 tahun itu, ditahan jam 7.45 malam.

Katanya, semua lelaki itu yang sedang membungkus dadah ketika serbuan, terkejut apabila polis menyerbu stor berkenaan.

“Pemeriksaan pada badan suspek dan di atas lantai dalam stor itu menemui bahan terlarang disyaki dadah heroin dan syabu seberat 40.6 gram (g).

“Turut dirampas, satu alat penimbang digital, gunting dan plastik lutsinar dipercayai digunakan untuk membungkus dadah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan lanjut mendapati semua lelaki itu positif dadah, selain tiga daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Semua suspek adalah penganggur dan penduduk tempatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, katanya, dalam serbuan berasingan pada jam 11.40 malam hari sama, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan di hadapan sebuah kedai di Kampung Ayer Hangat, di sini, dadah syabu dan heroin seberat 7.73 g.

“Suspek yang menetap di Kuala Nerang, Kedah ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan juga dikenakan hukuman tiga hingga sembilan sebatan,” katanya.

Berita Harian X