Isnin, 9 March 2020 | 12:43pm

Kumpulan pecah rumah tumpas

PETALING JAYA: Polis menumpaskan kumpulan dianggotai tiga lelaki yang dipercayai melakukan jenayah pecah rumah di sekitar sini, sejak beberapa bulan lalu.

Hasil rondaan polis, dua ahli kumpulan itu berusia 25 dan 28 tahun ditahan di Kota Damansara, Sabtu lalu manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pihaknya giat mengesan suspek dikenali sebagai A Kesavan berusia 34 tahun bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan terhadap dua suspek, kita rampas pelbagai jenis barangan untuk pecah rumah seperti parang, pisau dan gergaji. Dua tahanan itu turut didapati mempunyai rekod jenayah.

“Kita dalam proses mendapatkan perintah reman terhadap suspek berkenaan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, Nik Ezanee berkata, pihaknya sedang memburu suspek dikenali sebagai M Kiisho berusia 31 tahun dipercayai ketua

‘Geng Botak’ yang terbabit dengan kes pecah pejabat sekitar Petaling Jaya, sejak tahun lalu.

“Geng itu dianggotai sembilan orang dengan diketuai Kiisho. Empat orang ditahan pagi tadi dan bakinya diberkas minggu lalu,” katanya.

Berita Harian X