Ahad, 8 March 2020 | 2:14pm
Pasukan Polis Marin(PPM) Wilayah Lima Bintulu menahan sebuah bot kargo kerana membawa muatan minyak diesel tanpa kebenaran di sungai Batang Kemena, Bintulu, semalam. - Foto ihsan PPM
Pasukan Polis Marin(PPM) Wilayah Lima Bintulu menahan sebuah bot kargo kerana membawa muatan minyak diesel tanpa kebenaran di sungai Batang Kemena, Bintulu, semalam. - Foto ihsan PPM

Gagal seludup 20,000 liter diesel

BINTULU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Bintulu menahan sebuah bot kargo kerana membawa diesel tanpa kebenaran di Sungai Batang Kemena, Bintulu, petang semalam.

Dalam tangkapan 6 petang itu, tiga kru warga Indonesia berusia 32 hingga 53 tahun ditahan bersama 20,000 liter minyak diesel.

Komander PPM Wilayah Lima, Asisten Komosioner Shamsol Kassim, berkata pihaknya menahan sebuah bot kargo dan pemeriksaan mendapati ia membawa diesel sebanyak 20,000 liter.

“Juragan bot gagal menunjukkan sebarang dokumen sah berkaitan dengan pemilikan minyak itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya merampas bot kargo terbabit, minyak diesel, peralatan untuk mengepam minyak, seunit pam serta dua hos minyak.

“Rampasan dianggarkan berjumlah RM1,545,100. Kes dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 KPDNHEP,” katanya.

Berita Harian X