Sabtu, 7 March 2020 | 2:44pm
Suspek yang berusia 61 tahun ditahan di Kota Damansara pada jam 7 malam.
Suspek yang berusia 61 tahun ditahan di Kota Damansara pada jam 7 malam.

Suspek buli jalan raya direman empat hari

KUALA LUMPUR: Pemandu yang ditahan selepas dipercayai membuat provokasi melampau terhadap seorang pemandu lain akibat perselisihan faham ketika menukar lorong dalam kejadian di Kota Damansara, dekat sini semalam, direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pihak mahkamah hari ini meluluskan permohonan selama empat hari terhadap suspek bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

“Reman baru diluluskan selama empat hari,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Semalam, beliau memaklumkan suspek yang berusia 61 tahun itu ditahan di Kota Damansara pada jam 7 malam.

Katanya, tangkapan ke atas suspek dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang pelajar berusia 22 tahun yang menjadi mangsa provokasi suspek.

Insiden itu bermula akibat salah faham membabitkan suspek dan pelajar terbabit ketika menukar lorong di Jalan Teknologi, Seksyen 6 Kota Damansara, kira-kira jam 8.45 pagi.

Salah faham itu menyebabkan suspek berang sebelum membuat provokasi melampau terhadap pelajar terbabit yang turut membuat rakaman video kejadian itu.

Menerusi rakaman video berdurasi 55 saat itu, kelihatan suspek yang berada dalam sebuah kenderaan lain menunjukkan isyarat tidak senonoh kepada mangsa menerusi tingkap kenderaannya yang terbuka serta kata-kata berbaur lucah.

Suspek kemudian memintas kereta mangsa dan memberhentikan kereta sebelum turun daripada keretanya dan terus menuju ke sebelah tempat pemandu kereta mangsa.

Lelaki itu kemudian menepuk dan menumbuk cermin tingkap kereta mangsa beberapa kali, selain mengarahkan mangsa untuk keluar serta cuba membuka pintu kereta mangsa.

Mangsa tidak mempedulikan provokasi suspek dan terus merakam menyebabkan lelaki itu semakin berang sebelum meludah cermin tingkap kereta mangsa, selain bertindak merosakkan cermin sisi kenderaan itu sebelum beredar.

Rakaman video itu kemudian tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai netizen yang rata-rata tidak berpuas hati dengan tindakan suspek.

Berita Harian X