X
Jumaat, 6 March 2020 | 3:41pm

Polis buru pembuli jalan raya

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta yang membuat provokasi melampau dengan menumbuk dan meludah kereta seorang pemandu lain akibat perselisihan faham ketika menukar lorong dalam kejadian di Jalan Teknologi, Seksyen 6 Kota Damansara, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu yang dibuat oleh seorang pelajar pelajar berusia 22 tahun di Balai Polis Kota Damansara, pada jam 4.45 petang semalam.

“Hari ini tular di media sosial rakaman video menunjukkan seorang lelaki bertindak meludah dan menumbuk kereta perakam (mangsa).

“Ketika mangsa memandu di Jalan Teknologi, Seksyen 6 Kota Damansara, dikatakan berlaku salah faham ketika menukar lorong menyebabkan pengadu membunyikan hon beberapa kali.

“Buat masa ini pihak polis masih dalam tindakan mengesan dan menangkap suspek. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, orang ramai dinasihatkan agar memandu dengan berhemah dan bersabar serta tidak sekali-kali mengambil tindakan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain dan diri sendiri.

Menerusi rakaman video berdurasi 55 saat itu, kelihatan suspek yang berada dalam sebuah kenderaan lain menunjukkan isyarat tidak senonoh kepada mangsa menerusi tingkap kenderaannya yang terbuka serta kata-kata berbaur lucah.

Suspek kemudian memintas kereta mangsa dan memberhentikan kereta sebelum turun daripada keretanya dan terus menuju ke sebelah tempat pemandu kereta mangsa.

Lelaki itu kemudian menepuk dan menumbuk cermin tingkap kereta mangsa beberapa kali selain mengarahkan mangsa untuk keluar serta cuba membuka pintu kereta mangsa.

Mangsa tidak memperdulikan provokasi dibuat suspek dan terus merakam menyebabkan lelaki itu semakin berang sebelum meludah cermin tingkap kereta mangsa selain bertindak merosakkan cermin sisi kenderaan itu sebelum beredar.

Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta yang membuat provokasi melampau.
Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta yang membuat provokasi melampau.
Berita Harian X