Khamis, 5 March 2020 | 3:40pm
Pegawai penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan terhadap sebuah farmasi yang membuat pembelian bersyarat pencuci tangan yang dijual bersama topeng muka di sebuah farmasi di bandar Pasir Mas, di sini. Foto ihsan KPDNHEP
Pegawai penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan terhadap sebuah farmasi yang membuat pembelian bersyarat pencuci tangan yang dijual bersama topeng muka di sebuah farmasi di bandar Pasir Mas, di sini. Foto ihsan KPDNHEP

Wajib beli topeng muka bersama pencuci tangan?

PASIR MAS: Sebuah farmasi di sini mengenakan pembelian bersyarat membeli topeng muka bersama pencuci tangan sehingga menimbulkan persoalan kepada orang ramai.

Berikutan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Pasir Mas melakukan pemeriksaan terhadap premis itu selepas menerima aduan orang ramai.

Serbuan segera dijalankan terhadap premis itu pada jam 9.15 pagi tadi oleh lima pegawai penguat kuasa kementerian itu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Daerah, Asmadi Shafii, berkata seorang pegawai penguat kuasa membuat penyamaran dengan menguji pembelian terlebih dahulu.

“Hasil penyamaran mendapati topeng muka itu dijual secara bersyarat iaitu mesti membuat pembelian bersama pencuci tangan.

“Topeng muka adalah barangan kawalan tetapi bukan pencuci tangan dan memang menjadi kesalahan jika ada peniaga yang mengambil kesempatan menjalankan urusniaga seumpama ini,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Asmadi berkata, menerusi serbuan yang dijalankan itu, pemilik premis berusia 46 tahun disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana membuat jualan bersyarat terhadap barang harga terkawal iaitu topeng muka tiga lapisan.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Untuk rekod, ini adalah kes pertama yang membabitkan topeng muka di Kelantan.

“Peniaga dinasihatkan tidak cuba mengaut keuntungan dengan membuat jualan bersyarat terhadap mana-mana barang harga terkawal dan kami sentiasa menjalankan pemeriksaan dari masa ke semasa terhadap peniaga di daerah ini bagi memastikan pengguna tidak dibebani dan tertipu dengan aktiviti perniagaan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Berita Harian X