Isnin, 2 March 2020 | 6:15pm
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali menunjukkan minyak masak yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Kuantan. Foto NSTP/T.N Alagesh
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali menunjukkan minyak masak yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Kuantan. Foto NSTP/T.N Alagesh

4 ditahan, 31 tan minyak masak dirampas

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang merampas dan menyita kira-kira 31 tan minyak masak dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di sini, semalam.

Kementerian turut menyita dua lori dan sebuah tangki kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak di premis tidak berlesen dan penyimpanan barang kawalan secara tidak sah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, dalam serbuan jam 4 petang itu, empat lelaki berumur antara 30 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, serbuan itu dilakukan hasil daripada maklumat awam dan risikan selama tiga minggu membabitkan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM327,500.

“Modus operandi yang dilakukan ialah dengan menggunakan lori satu tan yang berkeupayaan untuk menyimpan minyak masak kira-kira satu tan.

“Mereka disyaki membeli minyak masak itu di premis pembungkus berlesen dan membawa barang kawalan itu untuk disimpan di sebuah premis.

“Sekitar premis yang diserbu adalah di kawasan perindustrian dan bengkel kenderaan berat,” katanya kepada media, di sini.

Ahmd Fitri berkata, siasatan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, katanya, denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun

“Pertubuhan dan perbadanan boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama manakala kesalahan kedua tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Berita Harian X