Isnin, 2 March 2020 | 5:57pm
LHDN menuntutnya Mohd Nazifuddin membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta. Foto NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
LHDN menuntutnya Mohd Nazifuddin membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta. Foto NSTP/ HAFIZ SOHAIMI

Permohonan Mohd Nazifuddin gantung prosiding ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Mohd Nazifuddin Najib untuk menangguhkan prosiding difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menuntutnya membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas mendapati tiada sebarang keadaan istimewa bagi mahkamah memberikan penangguhan kepada anak bekas Perdana Menteri itu yang dinamakan selaku defendan dalam tuntutan berkenaan.

Mohd Nazifuddin memohon menangguhkan prosiding sehingga mahkamah memutuskan rayuannya terhadap jumlah tunggakan cukai pendapatan yang perlu dibayar.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Mohd Nazifuddin ketika ditemui, berkata, Ahmad Zaidi yang memutuskan perkara itu dalam kamar, menetapkan 28 April ini bagi mendengar permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap defendan.

LHDN sebagai plaintif memohon untuk mendapatkan penghakiman terus mengikut Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 supaya mahkamah memutuskan tuntutannya melalui hujahan, tanpa perlu memanggil saksi memberikan keterangan.

Ditanya sama ada anak guamnya akan memfailkan rayuan, Muhammad Farhan berkata, pihaknya akan meneliti dahulu sama ada untuk merayu keputusan hari ini atau menunggu keputusan mahkamah terhadap permohonan LHDN mendapatkan penghakiman terus.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai tahun lalu di Mahkamah Tinggi di sini, dengan menamakan Mohd Nazifuddin, 37, sebagai defendan.

Mengikut penyataan tuntutan itu, kerajaan Malaysia mendakwa Mohd Nazifuddin masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2011 sehingga 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Dakwa kerajaan Malaysia, oleh kerana Mohd Nazifuddin gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2011 sehingga 2017 itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan, di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai 10 peratus dikenakan.

Plaintif berkata, defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 itu, menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan, terhadap defendan.

Kerajaan Malaysia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang, termasuk dengan kenaikan yang semuanya berjumlah RM37,644,810.73.

Oleh itu, kerajaan Malaysia menuntut daripada defendan jumlah RM37,644,810.73, faedah atas jumlah RM37,644,810.73 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, sehingga tarikh realisasi, kos dan relif lain yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Berita Harian X