Ahad, 1 March 2020 | 4:49pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Suami dayus

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita bukan sahaja ditampar dan ditumbuk tetapi diugut akan dibunuh suaminya selepas dikatakan mencuri duit lelaki terbabit dalam kejadian di Chendering, di sini, Khamis lalu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi apabila suspek berusia 40-an mendapati duitnya hilang sebelum menuduh mangsa berusia 45 tahun mencurinya.

Menurut sumber, mangsa menafikan tuduhan suspek namun penafiannya itu mengundang kemarahan suaminya sehingga membawa kepada pertengkaran mulut.

Katanya, pergaduhan pasangan suami isteri itu bertukar serius apabila suspek yang gagal mengawal perasaannya bertindak menampar dan menumbuk muka serta kepala wanita terbabit sehingga menyebabkan mangsa jatuh.

Malah, beliau berkata, suspek turut menekap muka isterinya dengan kain selain duduk di atas mangsa tanpa mengendahkan rayuan mangsa yang sedang menanggung kesakitan.

“Selepas puas membelasah mangsa, suspek beredar meninggalkan rumah berkenaan namun sempat mengugut mahu membunuh mangsa.

“Mangsa mendakwa suspek sering mengamuk dan merosakkan barangan yang ada di rumah mereka setiap kali berlaku pertengkaran antara mereka.

“Susulan kejadian itu, mangsa yang mengalami bengkak dan lebam di seluruh anggota badan membuat laporan di Balai Polis Chendering untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Berita Harian X