Jumaat, 28 Februari 2020 | 4:36pm

Tumbuk, ugut bunuh ibu

Chukai: Seorang lelaki bukan hanya tergamak menumbuk ibunya, tetapi turut mengugut mahu membunuh wanita itu dalam kejadian di Kampung Olong Binjai, di sini, Selasa lalu.

Kejadian dipercayai kira-kira jam 5.40 petang, suspek berusia 24 tahun itu tiba-tiba mengamuk tanpa diketahui puncanya.

Menurut sumber, suspek dikatakan mengamuk dan menumbuk ibunya yang berusia 50-an, selain mengugut mahu membunuh mangsa sambil mengacukan sebilah parang

Katanya, suspek turut membaling sebilah parang ke arah mangsa, namun mangsa sempat mengelak.

“Anak perempuan mangsa yang ketakutan melihat sikap agresif suspek menghubungi salah seorang abangnya untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

“Terkejut mendengar cerita itu, abang berusia 34 tahun bergegas ke rumah ibu mereka, namun sebaik sampai, suspek sudah melarikan diri.

“Lelaki terbabit kemudian membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan mangsa dan ahli keluarga lain memandangkan suspek adalah penagih dadah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Berita Harian X