Rabu, 26 Februari 2020 | 11:42pm
Gambar fail, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Gambar fail, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Peguam cabar nasihat Lembaga Pengampunan bebaskan Anwar

KUALA LUMPUR: Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, memfailkan saman terhadap Lembaga Pengampunan dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh pihak lembaga itu pada 16 Mei 2018.

Mohd Khairul Azam berkata, beliau mempersoalkan komposisi Lembaga Pengampunan ketika itu yang didakwa ditubuhkan secara salah dan tidak menepati keperluan undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berpendapat sebagai pihak yang terkesan dalam isu ini, maka saya mempunyai hak untuk mengemukakan persoalan ini kepada mahkamah bagi mendapatkan kepastian.

“Oleh itu saya mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan lanjut, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 16 Mei 2018, Anwar dibebaskan serta-merta selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, dalam kenyataannya ketika itu berkata, rayuan pengampunan penuh Anwar dibentangkan dan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-51 pada 16 Mei 2018 dan ia adalah selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar sebelum itu menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantunya.

Berita Harian X