Rabu, 26 Februari 2020 | 6:59pm

Peguam "Buzze Azam" didakwa

KUALA LUMPUR: Seorang peguam yang dikenali sebagai ‘Buzze Azam’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang mengapikan orang Melayu terhadap bangsa Cina dan India melalui aplikasi Facebook, bulan lalu.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, 43, yang juga Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mohd Khairul Azam didakwa berbuat demikian melalui laman profil “BUZZE AZAM MALAYSIA” yang mungkin mengapikan orang Melayu melakukan sesuatu kesalahan terhadap bangsa Cina dan India pada 5.39 petang, 14 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan selain pasport turut diserahkan kepada mahkamah.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius, mengambil kira suasana politik hari ini. Kenyataan yang dikeluarkan tertuduh, boleh menyebabkan berlakunya perbalahan antara kaum,” katanya.

Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili Mohd Khairul Azam memohon jaminan yang rendah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Berita Harian X