Jumaat, 21 Februari 2020 | 3:38pm
ADUN Gadek, G Saminathan (kiri) dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, antara tiga individu didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, di atas pertuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, November tahun lalu.
ADUN Gadek, G Saminathan (kiri) dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, antara tiga individu didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, di atas pertuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, November tahun lalu.

Peguam Negara hentikan prosiding individu sokong LTTE

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara hari ini, membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang

Antara yang dituduh sebelum ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60.

"Memang kelaziman untuk mempunyai idola dan bukan sekadar bintang pop, ahli sukan atau pelakon. Mempunyai gambar dan representasi lain yang berkaitan mereka dalam telefon bimbit atau akaun Facebook (FB) seseorang, tidak menukar seseorang menjadi pengganas.

"Ini tema umum semua tertuduh LTTE. Setiap mereka mempunyai gambar Prabhakaran (Pengasas LTTE, Velupillai Prabhakaran) dan pemimpin lain LTTE yang terbunuh semasa Perang Saudara di Sri Lanka dalam telefon bimbit atau akaun FB mereka.

"Sekiranya perbuatan ini boleh terjumlah sebagai kesalahan jenayah, ia akan meletakkan undang-undang ke tempat yang tidak dihormati," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Tommy berkata, mungkin terdapat elemen 'perbuatan pengganas' pada pihak semua atau mana-mana antara 12 tertuduh LTTE dengan memiliki, mengedar atau memaparkan gambar berkenaan atau Prabhakaran.

"Mustahil bagi pendakwaan untuk membuktikan bahawa mereka tidak termasuk dalam kategori pengecualian Seksyen 130B(4) Kanun Keseksaan, iaitu sekadar terjumlah 'sokongan, bantahan atau pertentangan pendapat',” katanya.

Mengenai kriteria dan pertimbangan bagi pendakwaan, beliau berkata, ia adalah kewajipan pendakwa bahawa undang-undang diaplikasikan dengan betul dan mencari keseimbangan antara kepentingan awam yang bercanggah.

Katanya, persediaan perbicaraan menjadikan ia berbeza daripada penyiasatan polis atau agensi siasatan lain dengan pendakwa perlu mengambil kira fakta yang hanya diketahui ketika kes berkembang selepas pertuduhan dikenakan.

“Bukti mencukupi bagi membuktikan standard jenayah ‘melampaui keraguan munasabah’ sentiasa menjadi cabaran. Saya hendaklah berpuas hati bahawa terdapat bukti mencukupi untuk memperoleh prospek jelas untuk sabitan terhadap setiap suspek bagi setiap pertuduhan.

“Enam tertuduh sudah dituduh bagi kesalahan dikatakan berlaku antara Mac dan Disember 2014. Bagaimanapun, para pendakwa tidak mendapati ia sesuai untuk menuduh mereka segera selepas kesalahan dikatakan sudah dilakukan.

“Ia bercanggah dengan kepentingan awam bagi enam orang ini dibicarakan pada 2020 untuk kesalahan dikatakan dilakukan enam tahun lalu. Peredaran masa adalah tidak boleh diterima bagi kes seumpama ini. Pertuduhan ke atas enam tertuduh membabitkan kesalahan dikatakan berlaku pada Januari dan Oktober 2019,” katanya.

Beliau juga berkata, setiap kumpulan pengganas perlu dikaji semula setiap enam bulan oleh Menteri Dalam Negeri, mengikut suatu perintah di bawah Seksyen 66B (9) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Perintah itu katanya, perlu dikekalkan sekiranya tindakan atau kecenderungan kepada keganasan berterusan, manakala ia seharusnya dibatalkan jika tindakan sedemikian sudah berhenti atau entiti terbabit sudah hampir luput, tidak wujud lagi atau dibubarkan.

“Contohnya, jika Parti Komunis Malaya (PKM) diisytiharkan sebagai ‘kumpulan pengganas’ di bawah Seksyen 66B (1) akta sama, pada 2020, maka perisytiharan itu adalah kesalahan dalam menjalankan kuasa diperuntukkan statut kerana hakikatnya adalah Kerajaan Malaysia sudah menandatangani Perjanjian Damai dengan PKM pada 1989 di Hat Yai, Thailand dan PKM telah lama tidak wujud lagi.

"Di Ireland, Sinn Fein pada mulanya menyokong IRA dalam matlamat ketenteraannya, namun dengan peredaran masa menjadi parti politik biasa yang sudah berhenti berjuang menggunakan keganasan untuk mendapatkan kuasa.

"Sokongan pengundi daripada peti undi di dalam pilihan raya umum Ireland baru-baru ini, sangat mengagumkan. Apa-apa keputusan oleh Menteri Malaysia pada tahun 2020 untuk mengisytiharkan Sinn Fein sebagai 'kumpulan pengganas' akan begitu juga adalah satu kesilapan di sisi undang-undang," katanya.

Pada Oktober 2014, Mahkamah Keadilan Eropah membatalkan sekatan antipengganas dan beberapa sekatan lain dikenakan Kesatuan Eropah ke atas LTTE pada 2006 selepas mengambil maklum keputusan untuk mengharamkan LTTE dibuat berdasarkan kepada 'tuduhan daripada media dan internet', berbanding siasatan langsung aktiviti kumpulan itu, seperti dikehendaki undang-undang.

Kesatuan Eropah bagaimanapun mengenakan semula sekatan dan larangan itu, pada Mac 2015.

Pada Julai 2017, LTTE dikeluarkan daripada senarai hitam pengganas Kesatuan Eropah oleh Mahkamah Keadilan Eropah buat kali kedua selepas mendapati tiada bukti untuk membuktikan LTTE menjalankan serangan selepas kekalahan ketenteraannya pada 2009.

LTTE tidak disyaki atau dikaitkan dengan serangan letupan bom di Sri Lanka, pada hari Easter tahun 2019, selain tidak pernah dalam sejarahnya menjalankan serangan keganasan di Malaysia.

Berita Harian X