Khamis, 20 Februari 2020 | 10:29am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Wang simpanan RM196,000 lesap ditipu Macau Scam

KUANTAN: Seorang lelaki kerugian RM196,000 apabila wang simpanan tetapnya selama beberapa tahun lesap selepas ditipu sindiket penipuan dalam talian atau Macau Scam.

Mangsa berusia 58 tahun berasal dari bandar ini diperdaya melalui panggilan telefon mendakwa namanya disalah guna untuk mengambil pil tidur di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 14 Disember tahun lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa namanya disalah guna untuk mengambil ubat tidur berkenaan.

“Mangsa menafikan perkara itu, sebelum talian itu disambungkan kepada ‘Inspektor Gan’. Mangsa dimaklumkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya disalah gunakan untuk tujuan dadah.

“Mangsa kemudian diminta menyerahkan gambar kad ATM miliknya untuk tujuan semakan lanjut. Mangsa juga diminta untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, bermula 7 Disember hingga 13 Januari lalu, mangsa memasukkan wang ke 12 akaun berbeza melalui 21 transaksi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM196,000.

“Mangsa masih diminta membuat bayaran lagi sebanyak RM50,000, namun lelaki itu memaklumkan sudah kehabisan wang. Mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam,” katanya.

Katanya, pihak polis sudah mengenal pasti identiti pemilik 12 akaun bank berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan modus operandi yang digunakan oleh suspek dan siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesan suspek,” katanya.

Berita Harian X