X
Rabu, 19 Februari 2020 | 1:14pm

Kes bunuh peniaga hendak solat Jumaat, 2 ditahan

SEPANG: Anak dan menantu seorang ahli perniagaan yang mati ditetak ketika dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat di Puchong Perdana di sini pada 14 Februari lalu, ditahan polis untuk siasatan kes pembunuhan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata anak lelaki mangsa berusia 37 tahun bersama menantunya berumur 27 tahun ditahan Polis Daerah Subang Jaya, dua hari lalu di Taman Puchong Perdana, jam 2.30 petang.

Katanya, anak lelaki kepada mangsa yang berusia 65 tahun itu, bekerja sebagai pemandu van pelancong.

“Pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Beliau ditemui wartawan selepas hadir Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sepang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini hari ini.

Media melaporkan, Jumaat lalu seorang ahli perniagaan maut apabila dia dipercayai ditetak seorang individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat di stesen LRT di Puchong Perdana, kira-kira jam 1.40 petang.

Kejadian itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian dipercayai akibat luka di bahagian belakang leher selepas ditetak.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

Berita Harian X