Rabu, 19 Februari 2020 | 9:44am
Gambar fail, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof.
Gambar fail, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof.

Simpanan RM78,000 lesap angkara Macau Scam

KUANTAN: Seorang pembantu taman asuhan kanak-kanak di sini, kerugian simpanan bank berjumlah RM78,000 akibat diperdaya sindiket penipuan Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata wanita berusia 56 tahun itu mulanya menerima panggilan telefon daripada individu mengaku polis yang mendakwa kereta Perodua Myvi milik mangsa didapati kenderaan curi.

“Panggilan itu seterusnya disambungkan kepada ‘Inspektor Mazlan’ dan hasil semakan juga mendapati mangsa juga terbabit dengan kes pengubahan wang haram.

“Namun ‘Inspektor Mazlan’ memberitahu boleh membantu mangsa untuk membersihkan namanya daripada tuduhan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas itu, mangsa dihubungi pula seorang wanita dan menyatakan boleh membantunya untuk membersihkan nama daripada tuduhan berkenaan.

“Namun suspek berkenaan meminta mangsa mengaktifkan perbankan internetnya. Mangsa juga diminta untuk berikan nombor pada kad pengeluaran wang automatik (ATM).

“Kemudian mangsa diarahkan pergi ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini untuk memindahkan carumannya ke dalam akaun bank miliknya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memindahkan wang simpanan KWSP berjumlah RM78,000 ke dalam akaunnya sebelum suspek memberi amaran supaya tidak menceritakan hal berkenaan kepada mana-mana pihak dalam masa seminggu.

“Namun, semalam mangsa membuat semakan di bank dan mendapati wang dalam akaunnya sudah dipindahkan ke dalam satu akaun yang lain dengan jumlah sebanyak RM78,000.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini selepas mendapati dirinya ditipu sindiket Macau Scam,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pihak polis sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun bank berkenaan dan siasatan sedang dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Berita Harian X