Selasa, 18 Februari 2020 | 6:41pm

'Raja Bukit Bauk' buat hal lagi

DUNGUN: Lelaki yang mendakwa ditabalkan sebagai ‘Raja Muda’ oleh kerajaan jin, ditahan lagi selepas terus menjadikan sebuah surau di kawasan Bukit Bauk sebagai istananya, petang tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 3.30 petang, suspek berusia 34 tahun itu gagal melarikan diri sebelum ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata 26 anggota penguat kuasa termasuk polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Agama Daerah Dungun, Pejabat Perhutanan Terengganu dan Majlis Perbandaran Dungun (MPD) menyertai operasi itu.

Anggota penguat kuasa menahan seorang lelaki yang mendakwa ‘Raja Bukit Bauk’ dan menjadikan surau di Bukit Bauk, Dungun sebagai ‘istana’. - Foto STR/Rosli Ilham
Anggota penguat kuasa menahan seorang lelaki yang mendakwa ‘Raja Bukit Bauk’ dan menjadikan surau di Bukit Bauk, Dungun sebagai ‘istana’. - Foto STR/Rosli Ilham

Suspek yang mendakwa dilantik sebagai Raja Muda oleh kerajaan Jin, membuat beberapa binaan termasuk menghias kawasan dalam dan luar surau serta pondok di situ dengan kain kuning.

“Selain itu, semua tingkap surau terbabit ditutup dengan sejadah supaya tidak dimasuki cahaya dan suspek memasang lilin di semua tingkap surau dengan mendakwa perlu mengerjakan ibadat dalam gelap,” katanya.

Baharudin berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kemudiannya ditahan di lokap ibu Pejabat Polis Daerah Dungun dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun esok untuk perintah tahanan reman.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983,” katanya.

Suspek tinggal di surau itu sejak Oktober 2018 dengan memasang lilin di semua cermin tingkap surau terbabit serta meletakkan kayu mimbar selain sofa di situ.

“Perbuatannya itu menyebabkan orang ramai tidak berani berhenti solat di surau terbabit dan suspek kali pertama ditangkap pada 10 Mac 2019 sebelum dia dibebaskan dengan jaminan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).

“Tangkapan kedua dilakukan pada September tahun lalu sebelum dia dihantar ke Hospital Permai Tampoi, Johor untuk menjalani pemeriksaan mental,” katanya.

Baharudin berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Dakwaan Palsu, Enekmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001.

Jika sabit dengan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 serta penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Anggota penguat kuasa merobohkan binaan dan hiasan di sebuah surau di Bukit Bauk yang didakwa seorang lelaki sebagai istananya. - Foto STR/Rosli Ilham
Anggota penguat kuasa merobohkan binaan dan hiasan di sebuah surau di Bukit Bauk yang didakwa seorang lelaki sebagai istananya. - Foto STR/Rosli Ilham
Berita Harian X