Selasa, 18 Februari 2020 | 4:19pm
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik (dua dari kanan) dan Ketua JSJN Terengganu Superintendan Roslan Tahir (dua dari kiri) menunjukkan pil kuda yang dirampas pada sidang media di IPK. - NSTP/Zaid Salim
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik (dua dari kanan) dan Ketua JSJN Terengganu Superintendan Roslan Tahir (dua dari kiri) menunjukkan pil kuda yang dirampas pada sidang media di IPK. - NSTP/Zaid Salim

Dadah dalam tanah

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang buruh binaan dan merampas dadah jenis pil kuda yang bernilai RM20,250 di sebuah rumah di Kampung Gong Kuing, Seberang Takir di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata dalam serbuan pada pukul 1.30 pagi itu, suspek berumur 40 tahun dan mempunyai empat orang anak itu ditahan polis sebaik sahaja tiba di rumahnya dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek dan beg yang dipakai di pinggangnya menjumpai sebuah kotak plastik bertutup yang dibalut pita pelekat berwarna hitam. Di dalamnya berisi 10 biji pil merah dan satu tiub straw cerah berangkai 15 yang setiap rangkai itu berisi satu biji pil merah disyaki dadah.

“Penangkapan suspek itu membawa kepada penemuan satu beg berwarna biru berisi 1,980 biji pil merah dan 20 biji pil hijau disyaki dadah, yang ditimbus di dalam satu lubang tanah di dalam sebuah stor di belakang rumahnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan adalah 2,025 biji pil kuda disyaki mengandungi dadah methamphetamine yang setiap satu dijual pada harga RM10 sebiji di pasaran.

Penahanan terhadap lelaki berusia 40 tahun terbabit dibuat sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu yang melakukan intipan dan risikan terhadap kegiatan suspek.

Roslee berkata suspek dikatakan aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah jenis pil kuda di kawasan Seberang Takir dan Gong Badak sejak tiga bulan lepas dan bergerak secara perseorangan.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau sebelum ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berita Harian X