Selasa, 18 Februari 2020 | 2:02pm

Suspek pijak Quran disuruh periksa mental

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas dua pertuduhan memijak dan menghina al-Quran yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook.

Tertuduh, Mohd Zulkifli Ali, 33, mengangguk faham namun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret, Nurasidah A Rahman.

Nurasidah bagaimanapun mengarahkan tertuduh untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai selepas membenarkan permohonan yang dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathullah.

Perintah itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan pihak pendakwaan dan mahkamah mengetahui status sebenar kesihatan mental Mohd Zulkifli.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan yang dilakukan di lokasi dan masa yang sama iaitu di bilik sebuah hotel di Taman Tebrau Jaya, jam lebih kurang 8.40 pagi.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencemarkan suatu objek iaitu sebuah al-Quran dengan memijak al-Quran itu yang mana kitab itu dianggap sebagai objek suci bagi umat Islam dengan niat untuk menghina Islam.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga telah mengeluarkan kata-kata menghina Islam yang didengari oleh seorang individu dengan niat yang disengajakan iaitu melukakan perasaan keagamaannya dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 298 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dalam tempoh boleh sampai setahun dengan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen kesihatan mental tertuduh.

Terdahulu, suspek yang tidak diwakili peguam itu tiba di Perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, kira-kira jam 9.30 pagi.

Pada Ahad, lelaki itu direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Khamis lalu, video suspek yang memijak al-Quran dan menghina Islam yang dibuat secara langsung di Facebook menimbulkan kemarahan ramai umat Islam.

Rakaman video itu juga viral menyebabkan suspek dilaporkan dibelasah orang awam.

Rakaman berkenaan memaparkan suspek dengan sengaja memijak al-Quran di atas katil malah suspek juga membuat rakaman suara yang menghina Islam.

Mahkamah mengarahkan Mohd Zulkifli (tengah) membuat pemeriksaan mental di Hospital Permai. - Foto STR/Omar Ahmad
Mahkamah mengarahkan Mohd Zulkifli (tengah) membuat pemeriksaan mental di Hospital Permai. - Foto STR/Omar Ahmad
Berita Harian X