Isnin, 17 Februari 2020 | 6:59pm
Najib hadir pada prosiding bela diri tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Najib hadir pada prosiding bela diri tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Bicara 1MDB ditangguh ke 2 Mac

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak yang sepatutnya bersambung esok dan Jumaat ini, ditangguhkan ke Mac depan.

Ia berikutan anak lelaki kepada peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, iaitu Muhammad Farhan yang juga seorang daripada peguam dalam pasukan pembelaan, akan melangsungkan perkahwinan.

Penangguhan kes berprofil tinggi itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib melalui WhatsApp kepada media.

“Ya, kita akan bersambung pada 2 Mac depan,” katanya.

Difahamkan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes 1MDB bersetuju untuk melapangkan tarikh perbicaraan pada minggu ini apabila perkara itu dikemukakan di kamar hakim hari ini.

Terdahulu, pada perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pagi tadi, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, beliau akan memohon supaya kes 1MDB ditangguhkan.

Menurut peguam itu, majlis perkahwinan anak lelakinya dilangsungkan lebih awal pada Khamis ini kerana pasangan itu mahukan tarikh istimewa iaitu 20.02.20.

“Pada majlis itu nanti akan ada tarian budaya Melayu Pulau Pinang, namanya tarian Semarak, ...mujur bukan saya buat persembahan,” katanya.

Perbicaraan kes 1MDB kali terakhir pada 13 November lalu, kemudian ditangguhkan berikutan saksi penting, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Muhammad Shafee bercuti sakit.

Berita Harian X