Isnin, 17 Februari 2020 | 12:15pm
KETUA Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.
KETUA Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Halau anggota imigresen: Seorang lagi ditahan di Batu Caves

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan kekecohan yang berlaku di Kuil Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak, Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata lelaki berusia 38 tahun ditahan di sekitar Batu Caves kira-kira jam 9 malam tadi.

Katanya, secara keseluruhan menjadikan jumlah tangkapan setakat ini adalah tiga orang.

“Tiga individu itu ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan dan kita tidak menolak kemungkinan akan menahan lagi beberapa individu lain berdasarkan rakaman video kejadian yang tular itu.

“Kita akan siasat untuk kenal pasti motif kejadian. Polis juga akan menyiasat sekiranya mereka ini terbabit dalam kumpulan gengster atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din.

Mengulas lanjut berhubung kes terbabit, Noor Azam berkata, ketiga-tiga individu itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Terawe mengesahkan penahanan dua lelaki masing-masing berusia 47 dan 56 tahun di sekitar Batu Caves, Selangor bagi membantu siasatan kes terbabit.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 58 saat menunjukkan sekumpulan orang awam membuat provokasi terhadap beberapa anggota penguat kuasa imigresen tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Kejadian itu didakwa berlaku di tapak perniagaan yang terletak di perkarangan Kuil Subramaniar Swamy ketika 50 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor cuba membuat operasi ke atas peniaga haram dari India dan Pakistan.

Berita Harian X