Ahad, 16 Februari 2020 | 1:06pm

Halau anggota Imigresen, dua lelaki ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan insiden anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen (Imigresen) Selangor dihalau daripada melakukan tugas operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kedua-dua suspek berusia 56 dan 47 tahun ditahan di kawasan Batu Caves, hari ini dan semalam.

“Kita tahan seorang lelaki berusia 47 tahun jam 7 malam tadi, manakala seorang lagi lelaki pada jam 12.30 tengah malam tadi.

“Mereka direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, dilaporkan berkata pihaknya memandang serius tindakan provokasi itu dan menganggap ia sebagai perbuatan menghalang tugas penjawat awam.

Sebelum ini, tular di media sosial kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh Ahli Jawatankuasa Kuil Batu Caves.

Berita Harian X