Sabtu, 15 Februari 2020 | 9:15pm

Polis siasat kekecohan di Batu Caves

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di Kuil Subramaniar Swamy Batu Caves, dekat sini, membabitkan penguatkuasa daripada Jabatan Imigresen Selangor dan orang awam di situ, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata setakat ini pihak polis belum ada menerima sebarang laporan berlaku kekecohan atau rusuhan di lokasi terbabit, susulan tular satu video berkaitan kejadian itu, hari ini.

“Apa yang berlaku adalah pertengkaran antara pihak Imigresen dan beberapa lelaki yang tidak berpuas hati dengan kehadiran mereka ke kuil terbabit, semasa sesetengah penganut masih beribadat dan membeli belah pada saat akhir perayaan Thaipusam.

“Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dialami oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya polis kini sedang menjalankan siasatan dan sekiranya ada maklumat kejadian itu didalangi oleh kumpulan tertentu, tindakan tegas akan diambil menerusi Operasi Cantas (Op Cantas) yang dijalankan sejak 5 Februari lalu.

“Setakat ini keadaan di Kuil Batu Caves berada dalam keadaan aman dan terkawal dengan jumlah pengunjung semakin bertambah pada hujung minggu.

“Pihak polis akan meneruskan pemantauan di kawasan terbabit bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin serta aliran trafik dalam keadaan lancar dan terkawal,” tambah beliau.

Selain itu, katanya dalam tempoh antara 5 Februari sehingga kelmarin, polis daerah Gombak membuat 76 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan antaranya pemerasan, ugutan jenayah, tempat letak kereta haram.

Katanya lagi, pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Selayang, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Persatuan Bulan Sabit Merah serta St John Ambulans Malaysia turut sama membantu memastikan perayaan itu disambut dengan aman dan teratur.

Dalam pada itu, katanya orang ramai dinasihatkan tidak menularkan atau menyebarkan sebarang berita yang tidak benar bagi menjamin keharmonian pelbagai kaum dan sensitiviti masyarakat.

Hari ini tular satu rakaman video berdurasi 58 saat menunjukkan sekumpulan orang awam cuba membuat provokasi dengan kata-kata terhadap beberapa anggota penguatkuasa Imigresen tular di media sosial.

Kejadian itu didakwa berlaku di tapak perniagaan yang terletak di perkarangan Kuil Subramaniar Swamy Batu Caves ketika 50 anggota Jabatan Imigresen Selangor cuba membuat operasi ke atas peniaga haram dari India dan Pakistan.

Berita Harian X