Jumaat, 14 Februari 2020 | 4:15pm
Anggota JSJ Negeri Sembilan membuat kawalan di Kompleks Mahkamah Seremban pada prosiding kes membabitkan anggota Geng Kabali. Foto MOHD AMIN JALIL

Polis kawal ketat prosiding kes 19 anggota Geng Kabali

SEREMBAN: Kompleks Mahkamah Seremban di sini dikawal ketat anggota polis apabila 19 individu yang menganggotai kumpulan jenayah terancang, Geng Kabali dibawa untuk pertuduhan hari ini.

Tertuduh ialah S Prabu, S Viven, SG Ravikumar, SS Subramaniam, G Kartik Rajah, SRC Parkash, R Kamal Rajh, TSG Kartik, U Kartik, B Kalaiarasan, G Yuganraj, K Shastihar, G Murali, S Ilangovan, L Navinraj, K Sarugunan, S Sivabalan, G Thanaselan dan M Puspalingam.

Selain kawalan ketat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, petugas media juga tidak dibenarkan memasuki mahkamah untuk mengikuti prosiding selama kira-kira sejam bermula 9.15 pagi itu.

Kamal Rajh, Ilangovan, Navinraj dan S Sivabalan diwakili peguam, V Muniandy dan P Rajsurian; Viven, Ravikumar, Kartik dan Sarugunan pula diwakili peguam, A Parthiban dan J Dasene; Prabu dan Kartik Rajah diwakili Goh Chee Kian; Subramaniam diwakili S Karthigesan, manakala lapan lagi tidak diwakili peguam.

Mereka yang dihadapkan di hadapan Hakim Mardihah Harullah, didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574), menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Kabali, di tepi jalan besar Batu 1/2, Jalan Rantau-Siliau, Rantau, dekat sini, antara 1 Februari hingga 27 November 2019.

Jika sabit kesalahan, semua lelaki yang berusia 18 hingga 50 tahun itu yang dihadapkan kali pertama di mahkamah sama pada 9 Januari lalu, boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias yang dibantu Muhammas Asyraf Minhad pada prosiding hari ini, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata hakim menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Katanya, prosiding hari ini hanya membabitkan serahan dokumen berkaitan kerana laporan forensik belum diperolehi.

“Kami (pendakwaan) juga akan mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Seremban,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan 19 ahli geng berkenaan ditahan melalui Ops Kelawar sepanjang November hingga Disember lalu.

Berita Harian X