Khamis, 13 Februari 2020 | 11:10pm
Bot nelayan kelas A yang dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan pada 7 Februari lalu. - Ihsan maritim Malaysia
Bot nelayan kelas A yang dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan pada 7 Februari lalu. - Ihsan maritim Malaysia

Empat nelayan dikhuatiri hilang

KUALA TERENGGANU: Empat nelayan dikhuatiri hilang di laut apabila tidak pulang selepas keluar menangkap ikan pada 7 Februari lalu.

Mangsa dikenali sebagai Azwan Yusof, 36, Walik Hafizul, 35, Hanafi Hampsa, 26, Mohd Faizan Musa, 29. Kesemua mereka dari Kampung Losong, di sini.

Adik Azwan, Mohd Amri, 33, berkata, dia kali terakhir menghubungi abangnya yang juga tekong bot pada 7 Februari lalu.

”Sepatutnya mereka pulang pada hari keempat atau kelima selepas ke laut.

“Saya cuba menghubungi abang tetapi gagal sebelum melaporkan kejadian itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Terengganu untuk tindakan,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Sementara itu Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kapten Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata pihaknya sudah menjalankan operasi mencari di kawasan 63 batu nautika dari Kuala Terengganu.

“Kapal Maritim (KM) Gemia dan KM Jujur dari Kelantan akan menyambung operasi mencari bot itu esok.

“Sekiranya bot itu gagal ditemui, operasi pencarian akan dijalankan menggunakan pesawat udara,” katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X