Khamis, 13 Februari 2020 | 7:17pm
Tan Sri Dr Madinah Mohamad hadir pada perbicaraan kes rasuah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta. - NSTP/Aswadi Alias

Jepak tidak lalui ujian rintis - Saksi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan arahan supaya projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak oleh Jepak Holdings Sdn Bhd tidak perlu melalui ujian rintis.

Perkara itu didedahkan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, 64, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor.

Madinah berkata, Najib mengeluarkan arahan itu menerusi minit bertarikh 7 Jun 2016, dengan arahan ‘sila laksanakan seperti minit saya dulu’ kepada bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pada minit bertarikh 7 Jun 2016.

“Dengan minit ini, ujian rintis dan kajian terperinci terhadap projek solar hibrid tidak boleh diteruskan lagi. Ini kerana ujian rintis dan kajian terperinci mengambil masa untuk diselesaikan.

“Selain itu, keputusan serta takat pelaksanaan projek solar hibrid bergantung kepada input yang diterima daripada ujian rintis dan kajian terperinci yang telah dibuat,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari keenam perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Madinah yang juga bekas Ketua Audit Negara berkata, arahan Najib itu dikeluarkan dalam jangka masa yang dekat dengan protes oleh Rayyan Radzwill Abdullah (rakan kongsi Jepak Holdings Sdn Bhd) berhubung pelaksanaan projek solar hibrid secara ujian rintis.

“Rayyan tidak mahu ujian rintis dilaksanakan kerana ia akan menangguhkan proses kelulusan projek itu kepada Jepak dan terpaksa menanggung risiko kewangan sekiranya ujian rintis gagal.

“Saya mendapati Mahdzir terus bersetuju untuk melaksanakan projek solar hibrid selepas mendapat minit daripada Datuk Seri Najib. Malah Datuk Seri Mahdzir mengarahkan saya untuk bertindak segera dalam melaksanakan projek solar hibrid,” katanya.

Saksi keenam pendakwaan itu berkata berdasarkan pengalamannya, walaupun Najib sering memberikan arahan melalui minit atas surat syarikat, Najib jarang memohon maklum balas daripada Kementerian Pendidikan berkenaan arahannya kecuali untuk kes yang luar biasa.

“Daripada pemerhatian saya, kes yang luar biasa adalah projek yang berupaya memberi manfaat politik kepada Najib.

“Bagi kes sebegitu, Najib akan bertanya status dan tindakan yang diambil sama ada daripada saya atau Mahdzir ketika mesyuarat atau dalam perjumpaan sampingan,” katanya.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Berita Harian X