Khamis, 13 Februari 2020 | 10:39am
Anifah hari ini mengakui, adalah tidak wajar wang derma yang diberikan oleh Raja Arab Saudi digunakan untuk membeli jam mewah berharga setengah juta ringgit. - NSTP/Aswadi Alias

Tak wajar guna sumbangan Saudi untuk beli jam tangan mewah - Anifah

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini mengakui, adalah tidak wajar wang derma yang diberikan oleh Raja Arab Saudi digunakan untuk membeli jam mewah berharga setengah juta ringgit.

Perkara itu diakui Anifah ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram yang merujuk kepada pembelian jam jenama Chanel berharga AS$130,625 oleh Najib kepada Datin Seri Rosmah Mansor sebagai hadiah ulang tahun kelahiran pada tahun 2014.

Sithambaram ketika itu menyoal saksi mengenai derma daripada Arab Saudi dan mempersoalkan mengapa dimasukkan dalam akaun peribadi bekas perdana menteri itu, yang dijawab saksi ia bagi memudahkannya dikawal.

Sithambaram: Adakah patut untuk membeli jam yang bernilai hampir setengah juta?

Anifah: Sudah tentu tidak (wajar).

Sebelum ini, dikemukakan di mahkamah bahawa Najib membelanjakan AS$130,625 (RM466,330.11) di butik Chanel di Honolulu, Amerika Syarikat pada 2014 untuk membeli seutas jam tangan mewah sebagai hadiah ulang tahun Rosmah.

Najib yang membela diri dalam prosiding sebelum ini berkata, Rosmah memilih sendiri jam tangan mewah bernilai RM466,330 yang dibeli di butik Chanel, Honolulu, Amerika Syarikat (AS) sempena hadiah ulang tahun kelahiran isterinya.

Najib berkata, jam tangan itu dibeli bagi menebus rasa bersalah kerana percutian keluarganya terpaksa ditangguhkan dan kebetulan ulang tahun kelahiran isterinya itu sudah hampir tiba.

Sithambaram turut bertanyakan saksi mengenai pernyataan bertulisnya yang menyatakan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud tidak mahu wang derma yang disumbangkannya ‘disalurkan secara tidak jelas’.

Ditanya apakah yang dimaksudkan dengan ‘disalurkan secara tidak jelas’, Anifah menjawab, “Saya sepatutnya bertanya Raja Abdullah mengenainya.”

Mengenai soalan mengapa perkara berhubung derma itu tidak dibincangkan di Kabinet, saksi itu berkata ia adalah kerana wang derma berkenaan dianggap sebagai derma peribadi.

Sementara itu, Anifah yang menjawab soalan Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata melalui pemahaman dan pemerhatiannya, sumbangan derma itu ditawarkan oleh Raja Abdullah sendiri.

Anifah dalam pernyataan saksinya, berkata perkara itu dibangkitkan ketika mesyuarat tidak rasmi di antara delegasi Malaysia diketuai oleh Najib dan dan Raja Abdullah di Istana di Riyadh 10 tahun lalu.

Beliau berkata, mesyuarat tidak rasmi itu berlaku ketika Najib mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi antara 13 dan 16 Januari 2010.

Katanya, ketika mereka keluar daripada istana, Najib bertanyakan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai perbualan sulit antara beliau (Najib) dan Raja Abdullah.

“Najib bertanya sama ada pemahamannya adalah betul bahawa Raja Abdullah berhasrat memberikan derma dengan memasukkan ke dalam akaun peribadi,” katanya.

Anifah berkata, Raja Abdullah berhasrat memberikan pertolongan kewangan bagi keperluan politik Najib untuk mengekalkan kestabilan kerajaan Islam sederhana dan mengelakkan pengaruh ekstremis.

Kata Anifah, Najib sehubungan itu meminta pendapatnya mengenai sumbangan derma oleh Raja Abdullah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

“Saya memberikan jaminan bahawa ia tiada masalah kerana derma itu bagi tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan politik dan ia adalah menjadi kebiasaan dalam UMNO bagi presiden bertanggungjawab secara peribadi terhadap dana politik,” katanya.

Jamil Khir dalam keterangannya Selasa lalu pula memberitahu mahkamah, Kerajaan Arab Saudi tidak menawarkan untuk memberikan sumbangan derma kepada Malaysia, sebaliknya ia dipohon kerajaan melalui Najib selaku Perdana Menteri ketika itu.

Menurut Jamil Khir, setahu beliau derma itu adalah dipohon.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin depan.

Berita Harian X