Rabu, 12 Februari 2020 | 8:28pm

Klip audio SPRM: Polis panggil Najib, Rosmah minggu depan

KUALA LUMPUR: Polis dijangka memanggil Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor minggu depan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan susulan pendedahan klip audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Polis sedang mendapatkan tarikh sesuai bagi membolehkan bekas perdana menteri itu dan isterinya datang ke Bukit Aman untuk diambil keterangan.

Najib perlu menghadiri prosiding mahkamah kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) minggu ini manakala Rosmah pula prosiding kes rasuah solar hibrid sekolah luar bandar Sarawak.

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari, berkata proses merakam percakapan Najib dan Rosmah di Bukit Aman akan dilakukan seawal-awalnya minggu depan.

“Kami mahu panggil Najib dan isterinya minggu ini namun khuatir ia bertindan dengan tarikh prosiding mahkamah membabitkan isu 1MDB.

“Kemungkinan besar kita akan panggil (Najib dan isteri) minggu depan. Kalau bukan minggu depan, kita akan panggil beliau dua minggu lagi,” katanya kepada BH, hari ini.

Mohd Roze berkata, setakat ini polis tidak berhasrat merakam keterangan Najib dan isteri di kediaman mereka.

Rakaman percakapan itu akan dilakukan di Bukit Aman mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa, walaupun ada pihak mencadangkan ia dibuat di kediaman Najib bagi mempercepatkan proses siasatan.

“Setakat ini, tiada (rakaman percakapan di rumah). Secara kebiasaannya, individu berkaitan akan dipanggil untuk (di) rakam keterangan di Bukit Aman, mengikut SOP polis,” katanya.

Kelmarin, polis dilaporkan sudah merakam percakapan 12 daripada 20 individu yang disebut dalam sembilan set rakaman audio berdurasi 45 minit yang didedahkan SPRM.

Antara individu terbabit adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh; bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mohd Roze dipetik sebagai berkata proses merakam percakapan membabitkan Najib dan Rosmah pula akan dilakukan dalam masa terdekat.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

Yang turut memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai suruhanjaya itu.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah dan Abdul Azeez, sama ada terbabit dalam perbualan atau nama mereka disebut dalam perbualan berhubung skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu yang turut membabitkan beberapa tokoh kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Berita Harian X